BTS Media

Penggunaan MyKad orang lain beli petrol bersubsidi dilarang, kata JPN

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa penggunaan MyKad milik individu lain, termasuk ahli keluarga, bagi tujuan pembelian bahan api bersubsidi adalah dilarang.

Ketua Pengarahnya, Hisham Alias, berkata bahawa MyKad merupakan dokumen pengenalan rasmi yang tidak boleh digunakan, dipegang atau diwakili oleh mana-mana individu selain pemiliknya.

Beliau menjelaskan bahawa larangan tersebut selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang menetapkan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa semua urusan di kaunter, termasuk pembelian bahan api, perlu dilakukan sendiri oleh pemilik MyKad yang sah.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada pihak lain bagi mengelakkan pemilik berdepan implikasi undang-undang.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media sebelum ini yang memetik Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, mengenai penahanan seorang lelaki yang disyaki menggunakan empat kad pengenalan untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.

Suspek ditahan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, JPN sedang menjalankan siasatan terhadap kes individu yang menggunakan kad pengenalan orang lain bagi membeli bahan api bersubsidi di stesen minyak seluruh negara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment