BTS Media

Timbalan KP Jabatan Alam Sekitar didakwa terima rasuah RM21,000, mengaku tidak bersalah

TIMBALAN Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dr Norhazni Mat Sari didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,000.

Tertuduh yang berusia 59 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Menurut pertuduhan, beliau didakwa berdepan enam pertuduhan menerima wang berjumlah RM21,000 tanpa balasan menerusi enam transaksi yang dimasukkan ke dalam akaun anak perempuannya daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Kesalahan tersebut berlaku di sebuah bank di Bukit Bintang antara 18 April 2022 hingga 19 April 2024.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju dengan jaminan sebanyak RM25,000 serta memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya mempunyai tiga mesyuarat berkaitan kerja di Geneva, Switzerland pada bulan Jun dan memohon agar pasport diserahkan selepas urusan tersebut selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 serta menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya dengan segera.

-BTSMedia.my

Leave a Comment