BTS Media

Adam Radlan didakwa satu lagi kes rasuah Jana Wibawa

TIMBALAN Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa (28 Feb) atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia meminta supaya dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa meminta suapan RM2 juta daripada Lian Tian Chuan bagi membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh memohon mahkamah membenarkan  jaminan RM300,000 dengan dua penjamin yang ditetapkan sebelum ini ke atas tertuduh di Mahkamah Shah Alam, lapor Bernama.

Menurut Farah, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Feb lepas atas kesalahan menerima rasuah membabitkan projek sama (Jana Wibawa).

“Pihak pendakwaan akan meminta supaya kes di Mahkamah Shah Alam dan di mahkamah ini dibicarakan bersama.

“Bagaimanapun, kami masih belum menerima arahan sama ada kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Shah Alam atau Mahkamah Kuala Lumpur,” kata Farah yang dibantu oleh DPP, Natrah Fareha Rahmat.

Peguam Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan tidak membantah isu jaminan itu dan memaklumkan mahkamah syarat tambahan yang diberikan mahkamah sebelum ini, iaitu anak guamnya perlu melaporkan diri di pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Azura membenarkan tertuduh menggunakan jaminan RM300,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini berserta syarat tambahan sama selain menetapkan 23 Mac untuk sebutan kes seterusnya.

Pada 21 Feb lepas, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama, manakala pada 22 Feb lepas, dia turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah kepada RM4.1 juta berhubung projek serupa.

-BTS Media

Leave a Comment