Oleh Yusoff A. Shariff
KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.50 pagi Selasa (21 Feb), sebelum pertuduhan terhadapnya berhubung program Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi.
Akhbar The Star yang turut membuat liputan di situ, memetik satu sumber bahawa pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) telah diberikan kebenaran untuk mendakwa Wan Saiful, 47, dan Adam Radlan, 42, lewat petang Isnin (20 Feb).
Susulan itu, Wan Saiful dipanggil ke SPRM semalam untuk dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.
Dalam pada itu, Adam Radlan, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, telah diarah hadir ke mahkamah.
Menurut The Star pihak berkuasa telah beberapa kali memanggil Wan Saiful berhubung program Jana Wibawa.
Adam Radlan ditahan reman pada Januari untuk membantu siasatan.
SPRM yang memulakan siasatan ke atas program Jana Wibawa, telah memanggil beberapa individu, termasuk bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu siasatan.
Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputra Berwibawa atau Pemulihan Ekonomi Kontraktor Bumiputra Sah (Jana Wibawa) ditubuhkan pada November 2020 untuk membantu kontraktor bumiputera yang terkesan semasa pandemik Covid-19.
Di bawah program itu, kontraktor bumiputera yang diberi penarafan tiga hingga lima bintang, diberi kontrak melalui rundingan terus. Kontraktor-kontraktor tersebut sepatutnya telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
-BTS Media