BTS Media

PN makin terdesak selamatkan tiket tanding PRN Melaka

PERIKATAN Nasional (PN) dilihat semakin terdesak untuk memastikan gabungan itu tidak terkubur daripada persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan penggantungan kegiatan politiknya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, PN memberi amaran bahawa gabungan itu mungkin tidak dapat bertanding menggunakan nama dan lambangnya sendiri sekiranya penggantungan tersebut tidak dihentikan sebelum hari penamaan calon.

PN mendakwa penggantungan itu telah melumpuhkan keupayaan mereka menjalankan urusan politik asas, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding atas tiket gabungan tersebut.

Lebih membimbangkan PN, sebarang keputusan mahkamah yang memihak kepada gabungan itu selepas hari penamaan calon mungkin sudah terlambat kerana peluang untuk meletakkan calon atas nama PN tidak lagi dapat dipulihkan.

Kebimbangan itu dikemukakan menerusi sijil segera yang difailkan bersama permohonan semakan kehakiman bagi mencabar dua tindakan RoS terhadap gabungan berkenaan.

PN berhujah bahawa selagi penggantungan tidak ditangguhkan atau dibatalkan sebelum penamaan calon, tiada pegawai yang diberi kuasa boleh menandatangani dokumen yang diperlukan bagi membolehkan calon menggunakan nama dan lambang PN.

Desakan itu dibuat ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat  hari Rabu ini bagi menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan pengundian PRN Melaka ke-16.

PN turut mendakwa kesan penggantungan bukan sekadar menjejaskan kepimpinan gabungan itu, sebaliknya boleh memberi kesan kepada parti komponennya, ahli serta pengundi di Melaka.

Atas alasan itu, PN memohon mahkamah memberikan penangguhan interim terhadap penggantungan berkenaan sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman.

Gabungan itu juga mahu kes tersebut didengar secepat mungkin bagi mengelakkan keputusan mahkamah hanya diperoleh selepas proses pilihan raya bermula.

Permohonan itu difailkan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan bersama Wong Chia Zhen daripada Gerakan, N. Sathes Kumar daripada MIPP, Saifuddin Abdullah daripada Wawasan dan Sazmi Miah daripada Pejuang.

RoS dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dinamakan sebagai responden.

PN mencabar notis bertarikh 22 September di bawah Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan yang menghendaki gabungan itu menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.

Gabungan itu turut mencabar perintah bertarikh 23 September di bawah Seksyen 13(2A) yang menggantung kegiatan PN, kecuali tindakan yang diperlukan bagi menjawab notis berkenaan.

Permohonan semakan kehakiman itu masih  di peringkat kebenaran (leave), namun tekanan masa menjelang PRN Melaka kini memaksa PN mendapatkan campur tangan mahkamah dengan segera.

-BTSMedia.my

Leave a Comment