Oleh Fetty Rara
PERIKATAN Nasional (PN) akan menggunakan pendekatan yang sama seperti semasa PRU15 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Presiden PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Kelantan dan Terengganu akan terus menggunakan simbol bulan, manakala Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN, lapor Utusan Malaysia.
Katanya, dalam pertemuan yang diadakan pada Sabtu mereka telah membincangkan politik dan persiapan menghadapi PRN di enam negeri, dengan agihan kerusi kini hampir selesai.
Selain itu, beliau berkata, manifesto untuk PRN turut dibincangkan.
“Perkara tersebut sudah dibawa kepada perbincangan di peringkat pusat menerusi Jabatan Perundingan Kerusi Pusat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Muhyiddin berkata, Kelantan kini bersiap sedia untuk menghadapi PRN.
“Mengenai parti mana yang akan berlawan di kawasan UMNO, itu kita akan bincang selepas ini.”
-BTS Media