PERIKATAN Nasional (PN) akan melancarkan manifesto untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada awal November selepas hari penamaan calon, kata pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, PN akan menjelaskan setiap inisiatif dan bantuan kepada rakyat, termasuk komitmen untuk melaksanakan apa terkandung dalam Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen.
“Kami akan meneliti dan melakukan penambahbaikan terhadap bajet kalau ada keperluan, serta mengutamakan kepentingan rakyat dengan kadar kemiskinan yang kian meningkat, khususnya golongan rentan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini” katanya pada sidang media di Pagoh, Johor.
Muhyiddin berkata, beliau akan mempertimbangkan rayuan sebuah persatuan supaya kerajaan memperkenalkan moratorium khas bagi sektor perniagaan mengukuhkan kembali aliran kewangan yang terjejas berikutan keadaan ekonomi semasa.
“Banyak lagi…saya turut cadang pengerusi manifesto kita, Radzi Jidin supaya memaklumkan kepada rakyat bahawa segala perjanjian ini bukan sebagai tawaran sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan membentuk sebuah jawatankuasa bebas terdiri mereka yang pakar dalam pengurusan serta kewangan negara bagi meneliti langkah untuk tahun akan datang berdasarkan apa yang mereka janjikan.
“Ini boleh menambah keyakinan rakyat bahawa kami ni bukan main-main…tawar bulan, bintang dan matahari tetapi tak buat apa-apa macam kerajaan terdahulu.
“Janji nak buat bantuan, tak buat. Saya tidak boleh buat macam ni, itu tak amanah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 5 Nov, hari pengundian pada 19 Nov, dan pengundian awal 15 Nov ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau tidak mempunyai masalah jika ada pihak ingin mengadakan debat dengannya.
“Sekiranya ia dilakukan secara adil dan teratur, tanpa sebarang muslihat, saya tiada masalah.
“Nak kata debat ke kalau siapa menganjur secara rasmi dan menjemput saya. Nak bincang isu ekonomi, pendidikan pun boleh…tiada masalah.” katanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan perdebatan politik sebagai bukan budaya di sini, telah menolak cadangan Anwar Ibrahim supaya calon perdana menteri Pakatan Harapan, PN dan Barisan Nasional (BN) berdebat secara terbuka, sempena PRU15.
-BTS Media