PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto gabungan itu akan dibentangkan esok (6 Nov) di Kuala Lumpur.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan di mana pengumuman manifesto itu akan dibuat.
“Esok, PN akan melancarkan manifesto atau aku janji kita. Ini akan saya perinci esok, mengambil kira semua perkara yang cukup penting untuk kita laksana dan tunaikan.
“Saya nak menyatakan bahawa kita tidak mahu berjanji. Kita akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kita janjikan dalam manifesto kita,” katanya di Pagoh pagi tadi.
Muhyiddin berkata, antara perkara yang akan diumumkan dalam manifesto, termasuk ekonomi, alam sekitar, belia, sosial, pendidikan, wanita.
“Ini akan kita maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” katanya.
Muhyiddin berharap beliau sekali lagi diberi sokongan yang besar untuk dipilih sebagai wakil rakyat atau Ahli Parlimen Pagoh.
“Itu menunjukkan kita sudah bersedia untuk tawarkan suatu kerajaan yang baik, prihatin, bersih dan stabil sebagaimana jadi tagline PN.
“Apa pun, penting untuk sekarang ini jentera PN di seluruh negara bekerja keras untuk menentukan setiap pengundi keluar beramai-ramai,” katanya.
-BTS Media