BTS Media

Penjawat awam ditahan, disyaki bawa wanita asing masuk tanpa dokumen melalui KLIA2

SEORANG penjawat awam ditahan selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan sah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Suspek ditahan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) yang bertugas di kaunter imigresen balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai MCBA berhubung kejadian itu pada pukul 1.18 pagi, 17 November lalu.

Menurutnya, penjawat awam berusia 40 tahun itu sedang disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

Wanita warga asing berusia 38 tahun itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Ravi berkata demikian dalam satu kenyataan, namun polis tidak mendedahkan kewarganegaraan wanita berkenaan mahupun butiran lanjut mengenai penglibatan penjawat awam itu dalam kes berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment