KEMENTERIAN Kesihatan akan memperluas peranan klinik kesihatan di seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan, khususnya 14 hospital utama negeri yang berdepan jumlah pesakit yang tinggi.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu bertujuan memastikan lebih banyak rawatan dapat diberikan di klinik kesihatan berhampiran kediaman pesakit, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hospital besar.
Beliau berkata, daripada 152 hospital di negara ini, kebanyakannya berdepan tekanan kesesakan, sedangkan terdapat 2,617 klinik kesihatan yang boleh dimanfaatkan untuk memperluas akses perkhidmatan perubatan.
Menurutnya, klinik kesihatan dalam lingkungan kira-kira 10 kilometer dari hospital utama akan digerakkan secara lebih aktif untuk mengambil alih sebahagian perkhidmatan yang sebelum ini memerlukan pesakit mendapatkan rawatan di hospital.
Antara pendekatan yang diperkenalkan ialah inisiatif Special Interest Group (SIG), yang menyediakan latihan serta peningkatan kompetensi kepada pegawai perubatan di klinik kesihatan terpilih supaya mereka dapat melaksanakan prosedur tertentu tanpa perlu merujuk pesakit ke hospital.
Dzulkefly berkata, pendekatan itu juga dijangka mengurangkan kehadiran pesakit yang tidak memerlukan rawatan kecemasan ke jabatan kecemasan hospital.
Beliau menjelaskan, sebahagian pesakit yang datang ke hospital sebenarnya hanya dikategorikan sebagai kes zon hijau, menyebabkan mereka terpaksa menunggu sehingga enam atau tujuh jam untuk mendapatkan rawatan.
Dalam usaha memperluas perkhidmatan di peringkat klinik, pakar hospital turut mengadakan lawatan ke klinik kesihatan terpilih bersama Pakar Perubatan Keluarga (FMS).
Melalui pendekatan itu, pesakit tertentu tidak lagi perlu berulang-alik ke hospital kerana ubat-ubatan dan rawatan susulan boleh diperoleh terus di klinik kesihatan menerusi khidmat FMS.
Selain mengurangkan kesesakan semasa, Dzulkefly berkata, pengukuhan kesihatan awam dan pengurusan kesihatan penduduk juga penting bagi mengelakkan hospital terus dibebani penyakit tidak berjangkit serta penularan penyakit seperti denggi.
Katanya, kegagalan menangani peningkatan penyakit kronik secara berkesan akan menyebabkan hospital terus berhadapan tekanan berpanjangan.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan sudah bermula dan keberkesanannya akan dinilai berdasarkan petunjuk prestasi tertentu, termasuk perubahan tempoh menunggu pesakit serta tahap kesesakan hospital kerajaan.
Penilaian itu penting bagi memastikan langkah berkenaan benar-benar menghasilkan perubahan yang boleh diukur, bukannya sekadar berdasarkan dakwaan kejayaan.
-BTSMedia.my



