BTS Media

Hospital sesak: Pesakit warga emas datang terlalu awal antara puncanya

WARGA emas diiringi ahli keluarga datang lebih awal daripada waktu janji temu dikenal pasti antara sebab yang menyumbang kepada kesesakan di hospital kerajaan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan, berkata keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan di ruang hospital, malah turut memberi tekanan kepada kawasan parkir.

Beliau berkata perkara itu berlaku kerana warga emas lazimnya ditemani anak atau ahli keluarga lain ketika mendapatkan rawatan, manakala sebahagian mereka pula beranggapan datang lebih awal membolehkan mereka berjumpa doktor lebih cepat.

Sivanesan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah, mengenai tempoh menunggu pesakit di hospital kerajaan serta kecukupan kapasiti katil berikutan pertambahan penduduk dan penyakit kronik di negeri itu.

Menurutnya, tempoh menunggu turut dipengaruhi tugas lain yang perlu dilakukan doktor, termasuk membuat pemeriksaan pesakit di wad sebelum mereka memberikan rawatan kepada pesakit yang mempunyai janji temu.

Sivanesan turut membandingkan keadaan itu dengan hospital swasta, apabila pesakit yang menggunakan insurans kadangkala perlu menunggu lebih lama kerana proses mendapatkan kelulusan syarikat insurans sebelum dibenarkan keluar.

Katanya, rundingan antara hospital swasta dengan syarikat insurans mengenai kos rawatan juga boleh mengambil masa beberapa jam, sedangkan pesakit hospital kerajaan boleh terus pulang selepas dibenarkan keluar.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri turut melaksanakan beberapa kemudahan termasuk membolehkan pesakit membuat janji temu melalui telefon bagi mengambil ubat terus di farmasi.

Selain itu, katanya, perkhidmatan penghantaran ubat ke rumah turut disediakan dengan mengenakan bayaran tertentu.

Perak masih ada sekitar 400 katil kosong

Mengenai kapasiti katil, Sivanesan berkata Perak mempunyai 15 hospital kerajaan dengan kira-kira 6,000 katil, namun hanya sekitar 5,600 daripadanya sedang beroperasi.

Keadaan itu bermakna kira-kira 400 katil masih belum digunakan, katanya.

Bagi unit rawatan rapi (ICU), negeri itu mempunyai 96 katil dengan kira-kira 75 daripadanya sedang beroperasi.

Sivanesan mengakui kekurangan katil boleh berlaku buat sementara waktu sekiranya berlaku wabak penyakit luar jangka atau kecemasan besar, termasuk kemalangan yang melibatkan ramai mangsa seperti murid sekolah.

Dalam keadaan sedemikian, katanya, sesetengah pesakit mungkin perlu dipindahkan ke hospital lain bagi memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima aduan daripada hospital atau fasiliti kesihatan negeri berhubung kekurangan katil.

Perak turut mempunyai 89 klinik kesihatan dan lebih 180 fasiliti kesihatan lain, dengan kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada keperluan pesakit serta usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment