BTS Media

Bavi paksa lebih 14,000 penduduk di Taiwan dipindahkan

GAMBAR: AFP

KERAJAAN Taiwan memindahkan lebih 14,000 penduduk, kebanyakannya dari kawasan pergunungan di utara dan timur pulau itu, sebagai langkah berjaga-jaga susulan ancaman Taufan Bavi yang dijangka membawa hujan lebat serta angin kencang.

Walaupun taufan itu dilaporkan semakin lemah dan tidak dijangka membadai Taiwan secara langsung, pihak berkuasa memutuskan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kehilangan nyawa berikutan ramalan hujan yang boleh mencecah hampir satu meter di beberapa lokasi.

Susulan ancaman cuaca buruk itu, sebanyak 917 penerbangan antarabangsa dan kesemua 274 penerbangan domestik dibatalkan.

Hampir semua bandar dan daerah di Taiwan turut mengisytiharkan cuti taufan pada hari Sabtu, menyebabkan pejabat kerajaan serta sekolah yang sepatutnya beroperasi pada hujung minggu ditutup. Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan utara dan selatan pulau itu masih diteruskan dengan kekerapan perjalanan dikurangkan.

Di ibu negara, Taipei, hujan dan angin kencang mula melanda, namun masih terdapat penduduk yang meneruskan aktiviti harian.

Selepas bergerak melepasi timur laut Taiwan dan merentasi Kepulauan Sakishima di wilayah Okinawa, Jepun, Taufan Bavi diramalkan menuju ke bandar Wenzhou di timur China yang mempunyai kira-kira 10 juta penduduk, dengan jangkaan membadai kawasan itu pada awal pagi Ahad.

-BTSMedia.my

Leave a Comment