HUJAN lebat berjam-jam sejak hari Khamis malam menyebabkan limpahan air di beberapa kawasan rendah di Perak, memaksa lebih 1,700 penduduk di Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak memaklumkan sebanyak 23 pusat pemindahan dibuka setakat ini bagi menampung 1,776 mangsa yang terdiri daripada 1,413 penduduk di LMS dan 363 di Manjung.
Lebih 35 kampung dan taman perumahan di LMS terjejas, termasuk Kampung Simpang Halt, Kampung Batu 9, Kampung Ulu Sepetang, Kampung Jelapang Jaya, Taman Kamunting Mutiara dan Kampung Padang Gajah.
Di Manjung, antara kawasan terlibat ialah Kampung Sungai Batu, Kampung Lorong Masjid, Pantai Tin, Taman Anggerik dan Kampung Pulau Kabung.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berserta ribut petir akan berterusan di beberapa daerah termasuk LMS, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Hilir Perak sehingga hari Jumaat.
 – Btsmedia. my



