BTS Media

Mangsa banjir di Kedah meningkat, Perak masih sama

SERAMAI 107 mangsa banjir daripada 34 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, manakala Perak kekal dengan 217 orang di enam PPS setakat 8 pagi tadi.

Sebuah lagi PPS dibuka di daerah Kota Setar malam tadi akibat limpahan air Sungai Anak Bukit, menjadikan keseluruhan tiga PPS aktif di Kedah.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata 31 mangsa daripada tujuh keluarga sedang berlindung di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau daerah Kubang Pasu.

Terdapat dua PPS di Kota Setar, di mana SK Titi Gajah yang dibuka 5.30 petang semalam menempatkan 44 mangsa daripada 18 keluarga, manakala 32 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah yang mula beroperasi 11 malam tadi.

“Antara kampung terjejas banjir di daerah Kota Setar adalah Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Seberang Chegar, Kampung Perang, Kampung Titi Gajah, Kampung Alor Senjaya dan Kampung Bohor yang dinaiki air sejak semalam,” katanya menurut Berita Harian.

Di Perak pula, 217 mangsa banjir daripada 62 keluarga masih ditempatkan di enam PPS di tiga daerah, angka itu tidak berubah berbanding 12 tengah malam tadi.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana Perak setakat 8 pagi tadi menunjukkan Hilir Perak daerah paling terjejas dengan 128 mangsa (37 keluarga) berlindung di dua PPS.

Ia diikuti Kerian dengan 80 mangsa (23 keluarga) dipindahkan ke dua PPS dan Kinta membabitkan sembilan mangsa (dua keluarga) di dua PPS.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/11/15/mangsa-banjir-di-kedah-bertambah-perak-kekal/

Leave a Comment