DAP mengumumkan menarik diri daripada kerajaan negeri Melaka selepas pentadbiran Barisan Nasional (BN) meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik tanpa melalui proses pilihan raya.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat kerana parti berkenaan tidak dapat menerima undang-undang yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Menurut beliau, DAP telah menolak usul yang dibawa kerajaan negeri, malah wakil Exco daripada parti itu turut mengundi menentangnya. Justeru, katanya, DAP tidak lagi mempunyai alasan untuk terus berada dalam kerajaan negeri dan memilih untuk berundur.
Susulan keputusan itu, beliau memaklumkan bahawa satu-satunya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada DAP, Alex Seah, yang memegang portfolio Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, akan meletakkan jawatan bersama dua Timbalan Exco, Low Chee Leong dan Leng Chau Yen, serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Kerk Chee Yee.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua wakil lantikan DAP yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan akan melepaskan jawatan masing-masing secara berperingkat.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026, sekali gus membuka laluan kepada kerajaan negeri untuk melantik sehingga tujuh ADUN tambahan.
Pindaan itu diluluskan menerusi undian suara dalam dewan yang mempunyai 28 ahli, dengan 23 ADUN menyokong manakala lima lagi membantah.
Lima ADUN yang mengundi menolak pindaan tersebut terdiri daripada empat wakil DAP dan seorang wakil Amanah, iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Dalam perkembangan sama, ketiga-tiga ADUN Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mengundi menyokong pindaan berkenaan.
Ketika ini, BN menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN Melaka, diikuti PH dengan lima kerusi dan PN tiga kerusi.
PH menyertai kerajaan perpaduan Melaka pada 2023, selaras dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.
Bagaimanapun, hubungan antara PH dan BN semakin tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya selepas kedua-dua gabungan bertembung dalam Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini yang menyaksikan BN mencatat kemenangan dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi.
Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Melaka dijadual berakhir pada penghujung Disember ini. Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata DUN Melaka berkemungkinan dibubarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
-BTSMedia.my



