BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin perlu membayar hanya RM100,000 berbanding RM10 juta kepada parti itu kerana melanggar perjanjian bon.
Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk See Mee Chun, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan sebulat suara, membenarkan sebahagian rayuan yang difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Ampang itu.
Menurut Harian Metro Zuraida telah membuat rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun tahun lalu memerintahkan beliau membayar RM10 juta kepada PKR.
Pada tahun 2020, PKR, melalui setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail, memulakan tuntutan mahkamah, dan mendakwa Zuraida telah melanggar syarat bon yang ditandatanganinya dengan parti itu.
Dalam pembelaannya, Zuraida berkata dia dipaksa menandatangani bon untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
-BTS Media