Oleh Fetty Rara
BEKAS naib presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin perlu membayar RM10 juta kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana melanggar bon yang mengikatnya dengan parti tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu semasa prosiding dalam talian hari ini.
Saman difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti melalui Tetuan William Leong & Co pada 28 Sept, lapor NST.
Dalam pernyataan tuntutan, Saifuddin berkata Zuraida, yang dinamakannya sebagai defendan, telah mengikat dirinya melalui bon pada 25 April 2018 untuk membayar kepada PKR jumlah itu mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan terma itu, Zuraida bersetuju membayar PKR RM10 juta tidak lewat daripada tujuh hari selepas memenangi pemilihan atas tiket PKR dan kemudian meletak jawatan daripada parti atau menyertai mana-mana parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Saifuddin mendakwa bahawa pada 24 Feb lepas, Zuraida mengumumkan keluar parti menerusi satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain tanpa berundur daripada jawatannya sebagai Ahli Parlimen Ampang.
Saifuddin mendakwa Zuraida telah gagal, enggan dan cuai untuk membayar jumlah yang berhak dituntut oleh parti.
Beliau berkata defendan telah menikmati manfaat sebagai calon parti untuk memenangi kerusi parlimen Ampang, dan oleh itu adalah tidak adil baginya untuk mengekalkan kedudukan tersebut tanpa membayar pampasan bagi yang diterimanya.
-BTS Media