BTS Media

Pencemar air berdepan denda hingga RM10 juta

 

Oleh Zainal AS Rashid

TIADA lagi kompromi jika mencemar sumber air, kerana di bawah cadangan pemindaan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober, hukumannya amat berat, iaitu penjara lima tahun dan denda RM10 juta.

Sebagai langkah pencegahan lebih keras bagi menangani jenayah tersebut, hukuman penjara mungkin mandatori bagi pelaku yang mencemarkan sumber air di bawah Rang Undang-undang untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Peguam Negara dijangka selesai mengkaji cadangan pindaan pada 6 Julai,” lapor Sunday Star.

Pada masa ini, pihak yang membuang sisa terjadual secara haram ke perairan Malaysia berdepan denda maksimum RM500,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 34B (4) Akta tersebut.

Namun demikian, masih terdapat pesalah yang tidak peduli dan terus membuang sampah secara tidak bertanggungjawab sehingga mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar.

Menurut JAS, oleh itu kerajaan perlu bertindak untuk meminda Akta 127 bagi memastikan hukuman berat dikenakan terhadap pesalah yang menyebabkan pencemaran tersebut.

Satu lagi cadangan perubahan dalam RUU itu adalah untuk meningkatkan kompaun daripada RM2,000 kepada jumlah tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum bagi setiap kesalahan.

RUU itu juga akan menambah baik piawaian pelepasan melibatkan udara, bunyi, tanah, air dan pelepasan minyak dan sisa buangan ke perairan Malaysia.

Kesemuanya adalah sebahagian daripada fasa pertama usaha Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk memantapkan akta tersebut.

JAS berkata kementerian sedang meminda undang-undang secara berperingkat. Fasa pertama merangkumi kompaun, penalti dan piawaian untuk memastikan tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang mencemar alam sekitar.

Fasa kedua yang dijangka siap pada 2025, bertujuan mengukuhkan akta. Ia masih diperhalusi oleh pakar undang-undang dan alam sekitar.

Draf fasa kedua merangkumi penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pemaju projek dan pemain industri.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga sedang mempertimbang untuk memperluaskan peraturan bagi mencegah pencemaran air secara langsung dan tidak langsung di negeri itu.

LUAS sedang mengkaji untuk mewajibkan semua projek pembangunan di Selangor, tanpa mengira jarak dari rizab air, supaya mematuhi peraturan semasa pembuangan bahan pencemar bagi membendung pencemaran air.

Kajian semula perubahan tersebut sedang dibuat, dan sebarang pindaan perlu melalui Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan.

“Buat masa ini, kerajaan negeri melalui LUAS masih menjalankan pengawasan 24 jam di lembangan sungai utama di negeri ini bagi memastikan pencemaran tidak berlaku dan mengelak gangguan bekalan air kepada rakyat,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment