BTS Media

Penjualan Air Zam Zam tidak dibenarkan

 

Oleh Zainal AS Rashid

TIADA syarikat atau pengedar di Malaysia diberikan lesen untuk mengimport dan menjual Air Zam Zam.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak berkuasa akan menolak sebarang cubaan untuk mengimport air tersebut.

Beliau berkata Air Zam Zam yang diiklankan di pasaran diragui ketulenannya.

Dalam satu kenyataan susulan laporan media tentang penjualan air itu dalam talian, beliau berkata sejak 2012, “Air Zam Zam” bernilai RM83,618 telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak mengarahkan 237 iklan makanan pada pelbagai laman dipadam  kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Daripada 237 iklan itu, 32 mempunyai kaitan dengan pemasaran haram Air Zam Zam.

Pemantauan oleh bahagian itu sepanjang 2021 dan 2022 (setakat ini) telah membawa kepada pemadaman sejumlah 23 daripada 40 iklan Air Zam Zam dalam media sosial.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu didapati bersalah menjual pakej air minuman dan air mineral asli tanpa lesen boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000, atau dipenjara tidak lebih daripada dua tahun.

KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya membeli Air Zam Zam daripada penjual dalam talian, terutama pada musim haji kerana bimbang produk yang dijual itu sebenarnya palsu.

Air Zam Zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurut Dr Noor Hisham, kerajaan Arab Saudi tidak pernah mengeluarkan sebarang permit, kerana Air Zam Zam tidak boleh dieksport mahu pun diperdagangkan.

Dalam perkembangan yang sama, bulan lepas pihak berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi telah mengeluarkan garis panduan baharu melarang jemaah Haji dan Umrah membawa Air Zam Zam dalam bagasi untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang kegiatan menjual Air Zam Zam, sama ada di kedai atau platform dalam talian. Aduan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan atau Jabatan Kesihatan Negeri, atau melalui pautan http://moh.spab.gov.my, atau laman Facebook http://www.facebook.com/bkkmhq.

-BTS Media

Leave a Comment