KEMALANGAN yang mengorbankan seorang pegawai polis dan seorang guru di Kilometer 29, Jalan Kuala Kangsar–Baling, berhampiran Restoran Tasik Raban, Lenggong semalam dipercayai berlaku selepas kereta dipandu pegawai polis itu hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu pegawai berkenaan dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Kangsar.
Menurut beliau, kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah Honda Odyssey yang membawa enam guru wanita dan sedang dalam perjalanan ke Gerik.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu, serta seorang guru Kolej Vokasional Gerik, Zuraida Abu Bakar, 47, yang merupakan antara penumpang di bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
Honda Odyssey berkenaan dipandu seorang guru wanita berusia 44 tahun dan turut membawa lima lagi guru wanita berusia antara 29 hingga 55 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– BTSMedia.my



