BTS Media

Anggota media ‘terkilan’ pegawai polis kanan kes bunuh di Ipoh dapat ‘layanan istimewa’

GAMBAR: Bernama.

 

ANGGOTA media hari ini berasa hairan dengan “layanan istimewa” yang didakwa diberikan kepada Mohd Nazri Abdul Razak, berhubung kes kematian seorang pelajar berusia 17 tahun.

Pemberita yang memenuhi pekarangan Mahkamah Majistret Ipoh sejak pukul 7.30 pagi untuk mengambil gambar dan merakam video tertuduh, terkejut apabila Mohd Nazri tidak dibawa melalui laluan biasa bagi mereka yang dihadapkan ke mahkamah.

Walaupun telah menunggu berjam-jam untuk peluang mengambil gambar atau video di pintu masuk mahkamah, jurugambar berita berasa kecewa apabila Mohd Nazri sebaliknya dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 9 pagi melalui laluan lain, bagi mengelak perhatian media, lapor NST.

Keadaan nyata berbeza daripada kes pembunuhan lain, di mana media dibenarkan merakam dan mengambil gambar suspek di kompleks mahkamah.

Jurugambar juga terkejut dengan kehadiran ramai anggota polis di mahkamah bagi melindungi Mohd Nazri daripada pihak media.

Anggota polis dilihat aktif memenuhi ruang yang biasanya digunakan oleh media.

Anggota polis juga dikatakan telah menghalang laluan yang digunakan oleh jurugambar untuk merakam visual tertuduh semasa dibawa ke mahkamah.

Jurugambar yang ingin merakam gambar wajah Mohd Nazri turut kecewa apabila seluruh kepalanya ditutup dengan pakaian.

Hanya seorang wakil bagi setiap organisasi media dibenarkan masuk ke bilik mahkamah untuk membuat liputan.

Selain itu, hanya jurugambar Bernama dan jurukamera Astro Awani dibenarkan mengambil gambar dan video tertuduh sebelum dia memasuki bilik mahkamah.

Prosiding hanya mengambil masa kira-kira lima minit.

Selepas dibawa keluar dari kompleks mahkamah, Mohd Nazri terus menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bercermin gelap yang diiringi empat kenderaan lain.

Terdahulu, Mohd Nazri, 44, didakwa di mahkamah majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohd Nazri didakwa melakukan pembunuhan di Jalan Taman Jati 1 dekat SMK Jati, Meru antara pukul 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Dis.

-BTS Media

Leave a Comment