KERAJAAN memaklumkan bahawa penjawat awam akan dibenarkan bekerja dari rumah atau lokasi lain yang diluluskan selama dua hari seminggu mulai 1 Ogos menerusi inisiatif baharu Hari Bekerja Hibrid (HBH).
Menurut kerajaan, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan inisiatif itu sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam bagi memperkenalkan aturan kerja yang lebih fleksibel tanpa mengurangkan jumlah keseluruhan waktu bekerja.
Berdasarkan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pegawai di negeri yang menetapkan hari Ahad sebagai hari kelepasan mingguan diwajibkan hadir ke pejabat pada setiap hari Isnin dan Jumaat.
Bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menetapkan hari Jumaat sebagai hari kelepasan mingguan, kerajaan memaklumkan bahawa kehadiran wajib di pejabat adalah pada setiap hari Ahad dan Khamis.
Kerajaan turut menjelaskan bahawa pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam yang penting.
Menurut kerajaan, perkhidmatan kaunter serta jawatan yang memerlukan kehadiran fizikal, termasuk dalam sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan kehakiman, akan terus beroperasi seperti biasa.
Kerajaan berkata, inisiatif HBH merupakan sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam yang bertujuan memodenkan sektor itu menerusi amalan kerja berasaskan hasil, disokong oleh teknologi digital serta sistem pemantauan prestasi.
Kerajaan menegaskan bahawa langkah tersebut diperkenalkan bagi memastikan integriti, produktiviti dan penyampaian perkhidmatan awam terus kekal pada tahap yang tinggi.
Menurut kerajaan, aturan kerja hibrid itu menggantikan dasar sementara bekerja dari rumah yang diperkenalkan susulan konflik di Asia Barat.
Kerajaan turut memaklumkan bahawa pendekatan serupa telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.
Dalam pada itu, JPA memaklumkan bahawa garis panduan terperinci mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
-BTSMedia.my



