BTS Media

Dua penjawat awam akan didakwa berhubung ‘penjualan’ pingat kebesaran Pahang

Oleh Zainal AS Rashid

DUA penjawat awam yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ Pahang akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuantan pada Rabu (28 Dis).

Ketua Polis negeri, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua lelaki masing-masing berusia 36 dan 30 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) undang-undang sama.

Beliau berkata, suspek yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang sebagai pembantu operasi dan pembantu tadbir didakwa kerana secara salah mendaftarkan nama 29 individu ke dalam sistem untuk mendapatkan gelaran.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu disedari oleh seorang lagi kakitangan SUK Pahang.

“Laporan polis dibuat dan siasatan mendapati suspek didakwa memasukkan data berkaitan ke dalam sistem tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak atasan atau menyalahgunakan nombor pengenalan yang diberikan oleh pejabat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Selasa (27 Dis).

Ramli berkata, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan beberapa ejen, dan gelaran ditawarkan kepada individu di Kuala Lumpur dan Selangor dengan bayaran antara RM80,000 dan RM150,000 setiap seorang.

“Selain dua suspek, 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun telah disoal siasat bagi membantu siasatan.

“Didapati 15 individu menerima gelaran Datuk palsu, manakala selebihnya menerima gelaran Datuk Seri, dan beberapa pingat serta lencana negeri dirampas,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment