BTS Media

VM2026 Dikaji Semula Susulan Konflik Asia Barat, Pelan Baharu Dijangka Diumum Dalam Enam Minggu

KERAJAAN sedang menyemak semula beberapa komponen kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) susulan konflik berterusan di Asia Barat, dengan pelan yang diperbaharui dijangka diumumkan dalam tempoh antara sebulan hingga enam minggu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang menilai semula serta menyusun semula beberapa aspek program berkenaan bagi menyesuaikannya dengan perkembangan geopolitik semasa.

Perkara itu dimaklumkan di Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sebagai menjawab soalan tambahan daripada Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai perancangan kerajaan terhadap VM2026 dalam keadaan ketegangan geopolitik yang sedang berlaku di rantau Asia Barat.

Menurut kementerian itu, beberapa pelarasan telah dibuat terhadap program berkenaan berikutan konflik yang masih berterusan di rantau tersebut. Semakan dan penyusunan semula program sedang dijalankan sebelum pengumuman rasmi dibuat dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa tempoh pelaksanaan VM2026 akan dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2027 berikutan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pelanjutan tersebut mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kestabilan serantau serta perancangan sektor pelancongan negara.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment