BTS Media

Rakyat perlu bersedia hadapi kenaikan kos susulan konflik Asia Barat

MALAYSIA berdepan risiko kelembapan ekonomi susulan konflik berterusan di Asia Barat yang mula menjejaskan rantaian bekalan melalui lonjakan kadar tambang kargo dan ancaman kekurangan bekalan baja.

Meskipun petunjuk ekonomi domestik kekal kukuh, ketidakstabilan di rantau Teluk tersebut telah meningkatkan kos perniagaan secara mendadak.

Kos penghantaran melalui laut sekarang mencecah tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini, didorong oleh kadar insurans yang melonjak melebihi 100 peratus serta peningkatan caj tambang bagi penghantaran minyak ke Pengerang, Johor.

Selain sektor pengangkutan, amaran turut dikeluarkan mengenai jangkaan kenaikan harga baja memandangkan negara masih mempunyai kadar kebergantungan yang tinggi terhadap sumber import. Walaupun harga semasa belum menunjukkan kenaikan drastik, trend dijangka berubah dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa jentera pentadbiran perlu bertindak lebih proaktif dan tidak sekadar menunggu sehingga masalah menjejaskan pengguna sebelum mengambil tindakan.

Sewaktu berucap di hadapan penjawat awam Kementerian Pengangkutan pada hari Khamis, beliau menyeru agar keadaan sebenar dijelaskan kepada masyarakat supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih bijak.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai rasionalisasi subsidi, termasuk bagi diesel, yang disifatkan sebagai langkah perlu bagi melindungi kewangan negara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment