BTS Media

Asia selatan, Asia tenggara dilanda gelombang panas melampau

Oleh Yusoff A. Shariff

ASIA Selatan dan Tenggara Asia semalam (Ahad) bersiap sedia untuk menghadapi cuaca panas melampau untuk beberapa lama lagi.

Pihak berkuasa di beberapa negara telah mengeluarkan amaran kemudaratan yang boleh dialami dalam keadaan begini.

Gelombang cuaca panas ekstrem berlaku sejak minggu lalu, hingga suhu mencecah setinggi 45 darjah Celsius.

Filipina mengumumkan penggantungan kelas secara bersemuka di semua sekolah awam selama dua hari susulan suhu panas yang memecah rekod di ibu negara Manila, lapor AFP.

Di Thailand, setelah sekurang-kurangnya 30 orang maut akibat strok haba setakat ini, jabatan meteorologi memberi amaran tentang “keadaan teruk” apabila suhu di wilayah utara melebihi 44.1C pada hari Sabtu.

Di Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh, jabatan meteorologi memberi amaran bahawa suhu boleh melebihi 40C dalam beberapa hari akan datang.

Suhu global mencecah paras tertinggi tahun lepas, dan agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari Selasa berkata Asia memanas pada kadar terlalu pantas.

Menurut kajian, perubahan iklim yang melanda bumi sekarang ini menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan lebih serius.

Myanmar merekodkan suhu 3-4C lebih tinggi daripada purata bulan April.

Jabatan meteorologi negara itu semalam meramalkan suhu di pusat bandar Mandalay boleh meningkat kepada 43C.

Sementara itu, kementerian air dan meteorologi di Kemboja memberi amaran bahawa suhu juga boleh mencecah 43C di beberapa bahagian negara pada minggu hadapan, manakala kementerian kesihatan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati.

Suhu di Vietnam juga diramalkan kekal tinggi semasa cuti umum lima hari seluruh negara, dengan ramalan setinggi 41C di bahagian utara.

Jabatan meteorologi berkata keadaan akan kekal panas sehingga akhir bulan April, dan hanya menjadi sejuk pada bulan Mei.

Di India, jabatan cuaca pada hari Sabtu berkata keadaan gelombang haba yang teruk akan berterusan sepanjang hujung minggu di beberapa wilayah, dengan suhu meningkat setinggi 44C.

Di Bangladesh, berjuta-juta pelajar kembali ke sekolah yang sebelum ini ditutup akibat suhu melampau, walaupun biro cuaca semalam berkata gelombang haba akan berterusan selama sekurang-kurangnya tiga hari.

Di Filipina, lazimnya bulan Mac, April dan Mei adalah bulan paling panas dan paling kering, tetapi keadaan tahun ini telah diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino.

Jurucakap jabatan meteorologi Filipina Glaiza Escullar memberitahu AFP bahawa semua wilayah di negara itu  dijangka mengalami suhu lebih panas sehingga minggu kedua bulan Mei.

-BTS Media

Leave a Comment