Oleh Yusoff A. Shariff
ASIA terus dicengkam gelombang haba melampau, dengan saintis meramalkan bahawa 2023 mungkin mencatat rekod sebagai tahun paling panas.
Apa yang dilihat sebagai petanda musim panas di hemisfera utara, corak keadaan El Nino diunjur tidak menyenangkan menjelang musim panas hemisfera utara. Ia juga semakin melonjakkan suhu di bahagian selatan hemisfera, lapor Bloomberg.
Vietnam melaporkan suhu tertingginya, iaitu 44.2C pada hujung minggu lalu, hingga mencetuskan ancaman krisis kekurangan bekalan tenaga, manakala Laos juga berkemungkinan memecahkan rekod suhu paling panas.
Filipina mengurangkan waktu sekolah setelah indeks haba mencecah zon “bahaya” kerana gabungan haba boleh membawa maut.
Suhu tinggi berlaku berikutan corak cuaca ekstrem semakin meningkat, disebabkan oleh pengumpulan gas rumah hijau di atmosfera, yang kini dianggap sesuatu yang baharu bagi bumi dalam konteks iklim.
Cuaca panas sekarang juga menguji keupayaan kerajaan untuk berusaha keras melindungi kesihatan awam dan mencegah gangguan serius kepada pertanian dan penjanaan kuasa di dalam ekonomi beberapa negara yang masih belum pulih daripada kemusnahan akibat Covid-19.
El Nino, yang dicirikan oleh suhu laut lebih panas di seluruh Pasifik, membawa kesan meluas terhadap corak cuaca di seluruh dunia.
Ia memberikan kelegaan kepada kawasan kering kontang di Argentina dan selatan Amerika Syarikat, manakala di bahagian Asia dan Australia menyaksikan keadaan kering panas hingga memberikan risiko kepada tanaman kopi, tebu, kelapa sawit, dan koko.
Cuaca kering berpanjangan di seluruh Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja dan Thailand adalah disebabkan oleh hujan yang tersekat sepanjang musim sejuk lalu, kata Profesor Madya Tieh-Yong Koh Singapore University of Social Sciences.
“Oleh kerana tanah kering memanas lebih cepat daripada tanah lembap, anomali panas secara semula jadi terbentuk apabila tiba musim bunga,” katanya sambil menambah bahawa keadaan ini menjadi lebih rumit disebabkan pemanasan global sejak beberapa dekad.
Suhu di Thailand yang masih kekal melebihi 40° Celcius di kebanyakan kawasan utara dan tengah sepanjang minggu lepas, telah meningkatkan permintaan tenaga ke tahap baharu.
Susulan itu, beberapa kumpulan peniaga dan sektor perbankan telah meminta kerajaan menyediakan pelan tindakan bagi menangani potensi kemarau yang mereka berkata mungkin berlarutan selama tiga tahun.
Kadar hujan di Malaysia mungkin berkurangan sebanyak 40 peratus di sesetengah kawasan, dan keadaan ini mengancam pengeluaran minyak sawit, yang merupakan antara komoditi terbesar negara.
Selain itu, pihak berkuasa juga sedang memantau rapi kebakaran hutan dan pencemaran udara. Ini berikutan fenomena El Nino pada 2015 yang menyebabkan jerebu teruk di Asia Tenggara.
Di tempat lain di Asia, suhu panas melampau juga dilaporkan berlaku di beberapa bahagian China, India dan Bangladesh sejak beberapa minggu lalu.
Wilayah Yunnan di barat daya China, yang merupakan hab pengeluaran aluminium utama, kali ini mengalami kemarau terburuk dalam sedekad bulan lalu. India pula dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan berlaku gelombang haba meluas berikutan peningkatan suhu pada April yang menyebabkan sekolah ditutup di beberapa negeri dan sekurang-kurangnya 11 orang maut akibat strok haba.
-BTS Media