BTS Media

Internet lemah di IPT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) diminta menyediakan laporan lengkap berkaitan isu capaian lemah Internet di kampus universiti tempatan.

Menteri berkenaan, Fahmi Fadzil, berkata laporan itu diperlukan sebagai asas beliau memahami isu berkenaan yang didakwa dihadapi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata demikian dalam satu tweet bagi menjawab isu berkenaan hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Malaya (UM), Amir Sirajudin, berkata masalah gangguan capaian Internet berlaku di kampus universiti itu sehingga mengganggu proses pembelajaran pelajar.

“Walaupun mungkin tidak dianggap kritikal oleh sesetengah pihak, gangguan seminggu sekali atau dua kali seminggu itu menjejaskan proses pembelajaran dan usaha kami menyiapkan tugasan kuliah,” katanya ketika dihubungi.

Amir berkata, beliau dan pelajar lain di kampus meminta kerajaan memandang serius perkara ini dan menambahbaikkan kualiti capaian Internet di kampus.

“Mungkin pihak kerajaan dan universiti boleh pertimbangkan untuk memperbanyakkan kawasan liputan WiFi, ada kawasan di sini tidak ada WiFi seperti beberapa kafe di fakulti,” katanya.

Gangguan yang berlaku tidak kerap namun kesan daripadanya, pelajar terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk mendapatkan capaian Internet di tempat lain atau membayar untuk perkhidmatan tambahan.

“Saya juga ingin mencadangkan jika boleh diwujudkan pakej khas Internet untuk mahasiswa yang mungkin boleh mengurangkan masalah ini, namun perkhidmatan pakej tersebut hendaklah berkualiti dan mampu dimiliki oleh pelajar,” katanya.

Sebelum ini, Eksekutif Umum Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) 2022, Muhammad Noraiman Zulkifli berkata kualiti rangkaian Wi-Fi di kolej kediaman di UM tidak memuaskan, tidak stabil dan kerap hilang.

“Ini sangat menyedihkan kerana walaupun negara bergerak ke gerbang rangkaian 5G, perkara asas seperti ini masih tidak selesai dan tiada perancangan drastik diambil oleh kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi menangani perkara ini,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1049147/capaian-internet-lemah-di-ipt-menteri-minta-laporan

 

Leave a Comment