BTS Media

Hukuman mati aktivis Myanmar dianggap persendaan usaha ASEAN

GAMBAR ATAS: Facebook Saifuddin Abdullah.

 

Oleh Zainal AS Rashid

TINDAKAN junta tentera Myanmar menghukum mati empat aktivis pro-demokrasi dianggap mempersendakan usaha Asean untuk menamatkan keganasan dan ketidakstabilan di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah melahirkan rasa kecewa dengan tindakan yang berlaku dua minggu selepas lawatan utusan khas Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr Noeleen Heyzer ke Myanmar dan mesyuarat berjadual menteri luar Asean untuk membincangkan langkah seterusnya bagi Konsensus 5 Perkara (K5P).

Beliau memberitahu media di parlimen hari ini (Selasa 26 Julai) bahawa Malaysia kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya hukuman mati itu. Turut hadir Dr Noeleen Heyzer.

Saifuddin menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran hak asasi manusia, serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Tahun lalu, pemimpin Asean, termasuk pemimpin junta Myanmar bersetuju untuk menerima pakai K5P dalam usaha untuk menamatkan keganasan dan ketidakstabilan di negara itu.

Menurut Saifuddin adalah sukar bagi Asean berusaha untuk menamatkan krisis di Myanmar jika kekejaman seperti itu terus dilakukan oleh pihak junta.

Ditanya sama ada antara respons Asean termasuk mengenakan sekatan, beliau berkata beberapa pihak telah mencadangkan perkara itu.

Beliau berkata ia perlu dipertimbangkan dan juga apa boleh dilakukan oleh Asean dan komuniti antarabangsa.

Saifuddin menegaskan bahawa adalah penting bagi Asean mencari jalan membolehkan K5P dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab junta tentera Myanmar untuk memastikan demokrasi akhirnya diguna pakai untuk rakyat Myanmar.

Myanmar bergolak berikutan rampasan kuasa tentera tahun lalu yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang ditahan dan berdepan dengan pelbagai tuduhan.

Junta tentera Myanmar menghukum mati empat aktivis pro-demokrasi, termasuk bekas Ahli Parlimen Phyo Zeya Thaw.

Phyo ialah ahli parlimen pembangkang dari Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, manakala tiga lagi yang dihukum mati ialah U Kyaw Min Yu, U Hla Myo Aung dan U Aung Thura Zaw.

Keempat-empat mereka dijatuhi hukuman mati dalam perbicaraan tertutup kerana dikata melakukan “tindakan keganasan”.

Sementara itu, Dr Noeleen berkata adalah penting bagi K5P dilaksana bagi mengelakkan krisis kemanusiaan dan kehilangan satu generasi penduduk Myanmar yang tidak berpendidikan akibat kekacauan di negara itu.

Beliau berkata 50 peratus daripada rakyat negara itu kini hidup dalam kemiskinan dengan kira-kira 1.2 juta Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, manakala Malaysia pula menerima jumlah tertinggi etnik Rohingya di Asean.

Berdasarkan angka PBB, terdapat 157,040 pelarian di Malaysia dari Myanmar, terdiri daripada kira-kira 104,330 Rohingya, 23,030 Chin dan 29,680 kumpulan etnik lain setakat Mei tahun ini.

-BTS Media

Leave a Comment