ATAS: Tangkapan layar kejadian daripada video MTV Somalia Channel.
SEKURANG-kurangnya 12 orang terbunuh di Mogadishu, Somalia, dalam serangan oleh kumpulan al Shabaab ke atas sebuah hotel.
Sehingga kini dilaporkan bahawa tentera kerajaan masih mengepung bangunan tersebut yang dikuasai oleh kumpulan berkenaan, kata seorang pegawai perisikan kepada media pada Sabtu, lapor MTV Somali Channel.
Kumpulan itu menyerang Hotel Hayat pada petang Jumaat menggunakan dua bom kereta, sebelum memasuki dan merampas bangunan tersebut.
Menurut pihak perisikan Somalia, setakat ini disahkan 12 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.
Saksi berkata kedengaran beberapa letupan sepanjang malam ketika pihak tentera cuba merampas hotel itu daripada penyerang. Sebahagian hotel musnah akibat pertempuran.
Menurut kumpulan perisikan Amerika Syarikat SITE, kumpulan jihad al-Shabaab yang dikaitkan dengan al-Qaeda mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Al Shabaab dikatakan berjuang untuk menjatuhkan kerajaan Somalia selama lebih 10 tahun, dan merancang menubuhkan pemerintahan berdasarkan tafsiran ketat undang-undang Islam.
Hotel Hayat merupakan tempat popular ahli politik dan pegawai kerajaan Somalia.
-BTS Media