BTS Media

Tujuh maut, 41 cedera dalam serangan bom kereta dekat masjid Kabul

 

Oleh Zainal AS Rashid

SATU serangan bom kereta berlaku semalam (Jumaat 23 Sept) ketika jemaah meninggalkan masjid Kabul, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 41, termasuk beberapa kanak-kanak, kata seorang pegawai Taliban.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian itu, yang terbaharu dalam beberapa siri serangan berterusan sejak Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan lebih setahun lalu.

Bunyi tembakan juga kedengaran beberapa minit selepas letupan di kawasan kejiranan diplomatik di ibu negara Afghanistan itu, lapor AP.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taliban, Abdul Nafi Takor, berkata bom kereta itu diletakkan di tepi jalan berhampiran masjid dan meletup ketika jemaah keluar selepas solat Jumaat.

Jurucakap polis Kabul, Khalil Zadran berkata siasatan awal mendapati bahawa jemaah solat Jumaat di Masjid Wazir Akbar Khan itu sengaja disasarkan.

Kumpulan ISIS, iaitu seteru pihak Taliban sejak pengambilan alih kerajaan Afghanistan dikatakan menyasar masjid dan pusat ibadah untuk mencetuskan huru-hara dalam kalangan penduduk negara itu.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid berkata serangan ke atas masjid dan madrasah amat dikutuk dan tidak boleh dimaafkan.

Bagi perwakilan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kabul, serangan tersebut membuktikan betapa bahayanya keadaan di negara itu sekarang.

-BTS Media

Leave a Comment