BTS Media

20 tahun tinggal dalam kereta, pesara tentera akhirnya dapat rumah

GAMBAR ATAS: Facebook Navy the Best/Bernama.

 

Nasib pesara tentera yang dikatakan tinggal dalam kereta sejak kira-kira 20 tahun lalu mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail yang diwakili Setiausaha Politik, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad melawat bekas anggota Angkatan Tentera (ATM), Mohd Redzuan Abdullah, 60, di belakang bangunan kedai serbaneka di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Prihatin dengan nasib Redzuan atau dikenali sebagai Pak Wan, Syed Fazmi berkata, sebuah rumah transit akan diberikan dalam masa terdekat, hasil kerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kita akan bantu meringankan beban Pak Wan untuk pindah ke kawasan dan penginapan yang lebih selesa. Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera juga hadir untuk membantu dalam proses pendaftaran, supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada Pak Wan,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat bekas tentera itu yang turut disertai Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim, Mustapa Kamal Mohd Yusoff dan wakil Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera.

Pak Wan yang berasal dari Perak dan berkhidmat selama 17 tahun dalam ATM, bersyukur apabila menerima bantuan daripada kerajaan.

“Saya berterima kasih kepada perdana menteri dan semua yang membantu memberikan rumah serta prihatin dengan nasib saya,” katanya.

Pesara tentera yang pernah berkhidmat di unit semboyan itu berkata, dia menyara kehidupannya dengan membaiki kenderaan di kawasan sekitar Sungai Besi dan kereta Volvo yang menjadi “kediamannya” selama 20 tahun itu diberikan pelanggannya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/28/20-tahun-tinggal-dalam-kereta-pesara-tentera-akhirnya-dapat-rumah/

Leave a Comment