BTS Media

Kira-kira 100 tentera terbunuh dalam pertempuran terbaharu Azerbaijan – Armenia

GAMBAR ATAS: Tentera Azerbaijan sedang bergerak di kawasan sempadan kedua-dua negara/Foto: Kementerian Pertahanan Armenia.

 

PERTEMPURAN meletus antara Azerbaijan dan Armenia hari ini, sehari selepas hampir 100 tentera terbunuh dalam pertempuran paling sengit antara kedua-dua jajahan bekas Soviet Union itu sejak 2020, lapor agensi berita Armenpress.

Sekurang-kurangnya 49 tentera Armenia dan 50 tentera Azerbaijan terbunuh pada Selasa dalam pertempuran itu, dengan kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain.

Perkembangan terbaharu itu telah memaksa Presiden Rusia Vladimir Putin menggesa kedua-dua pihak supaya bertenang.

Ia menimbulkan kebimbangan berlaku satu lagi konflik bersenjata besar di antara kedua-dua negara tersebut, ketika jentera tentera Rusia sibuk berperang di Ukraine.

Bagi Rusia, apa yang membimbangkan ialah jika berlaku peningkatan konflik, ia akan mengheret kuasa, seperti Turkiye dan Rusia ke dalam kancah satu lagi peperangan.

Menurut penganalisis, keadaan sedemikian akan menyebabkan ketidakstabilan rantau itu dan menjejaskan koridor saluran minyak dan gas, seperti mana berlaku di Ukraine.

Kementerian pertahanan Armenia pada Rabu telah mengeluarkan kenyataan menuduh Azerbaijan, yang dikatakan disokong Turkiye dari segi politik dan ketenteraan, melepaskan tembakan artileri, mortar dan senjata kecil dalam serangan terbaharu itu.

“Keadaan di sempadan Armenia-Azerbaijani kekal tegang, ekoran serangan Azerbaijan ke atas kedaulatan Armenia,” kata kenyataan itu lagi.

Azerbaijan turut menuduh Armenia, yang bersekutu dengan Rusia.

Rusia mempunyai sebuah pangkalan tentera di Armenia.

“Kedudukan kami diserang dari semasa ke semasa,” kata kementerian pertahanan Azerbaijan.

-BTS Media

Leave a Comment