DI KOTA Tinggi, Johor, kira-kira 35, termasuk wanita dan kanak-kanak mendapati diri mereka tiba-tiba terperangkap di sebuah tapak perkhemahan di Tanjung Lompat, akibat banjir pada petang Selasa (24 Jan).
Mereka terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Penawar menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 petang.
Sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama sembilan anggota dihantar untuk membantu mangsa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penawar Masri Ibrahim, kejadian berlaku kerana tebing saliran yang menjadi laluan utama keluar masuk ke tapak perkhemahan tersebut runtuh akibat banjir sehingga menyebabkan aliran menjadi selebar 6.1m sekali gus menutup laluan dan menghalang kenderaan untuk keluar dari lokasi.
Beliau berkata, anggota bomba telah membuka laluan lain di kawasan berhampiran bagi membolehkan kenderaan yang terperangkap menggunakan jalan pantai untuk keluar ke jalan besar.
Mangsa, 12 lelaki, 11 wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan itu kemudian dinasihatkan berkemas dan meninggalkan kawasan itu.
Operasi tamat pada pukul 7.50 malam.
-BTS Media