BTS Media

Whatsapp akan kenakan bayaran untuk pengguna simpan mesej lama

Oleh Zainal AS Rashid

GOOGLE memberi amaran kepada berbilion-bilion pengguna WhatsApp bahawa caj akan dikenakan bagi menyimpan mesej, foto dan video lama.

Mesej dan media pada aplikasi tersebut akan dikira dalam had kuota simpanan percuma sebanyak 15Gb bagi akaun Google setiap pengguna, lapor akhbar The Independent.

Kuota tersebut, bagaimana pun dikongsi penggunaan dengan Google Drive, Gmail and Google Photos.

Ini bermakna sebarang foto, video dan fail audio tambahan daripada WhatsApp mungkin memaksa ramai pengguna membayar bagi mendapatkan ruang simpanan tambahan.

Menurut pengurus komuniti Google dalam catatan blog pada hari Selasa lepas, simpanan percuma WhatsApp pada peranti Android akan terus berfungsi, selagi pengguna mempunyai baki kuota simpanan dalam storan Akaun Google mereka.

Tetapi, jika had simpanan mencapai kapasiti maksimum, mereka perlu sama ada memuat turun data yang tersimpan atau mengosongkan ruang simpanan untuk terus menggunakannya.

Versi ujian kaedah baharu ini akan mula dilancarkan kepada pengguna melalui WhatsApp Beta bulan depan, sebelum dibuka kepada semua pengguna WhatsApp platform Android pada awal tahun 2024.

Daripada kira-kira tiga bilion pengguna WhatsApp di seluruh dunia, dianggarkan 73 peratus mengakses aplikasi itu melalui platform Android.

Terdapat beberapa pakej harga untuk simpanan tambahan Google, dengan pelan bulanan termurah untuk 100GB data berharga AS$1.99 (RM9.29). Ini akan dirasakan mencukupi untuk pengguna WhatsApp yang paling intensif.

Syarat dan kemas kini ini berlaku di tengah-tengah rombakan besar oleh Google dalam mengurus akaun dan data dalam talian, dengan semua akaun peribadi yang tidak aktif selama lebih daripada dua tahun akan dipadamkan pada bulan Disember.

Bagi Google, langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna aktif, walaupun ada yang menyatakan bahawa ia mungkin secara tidak langsung memberi kesan kepada mereka yang memiliki akaun anak kecil untuk berkongsi kenangan dan peristiwa penting, serta pengguna yang mengawal akaun saudara mara yang telah meninggal dunia.

-BTS Media

Leave a Comment