Oleh Zainal AS Rashid
WALAUPUN caj elektrik mungkin akan meningkat dalam masa terdekat, namun ramai pengguna isi rumah berpendapatan tinggi mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan sama ada akan menukar corak penggunaan mereka.
Ini selepas Putrajaya mengumumkan bahawa subsidi elektrik untuk syarikat besar dan isi rumah berpendapatan tinggi akan ditamatkan apabila pangkalan data berkenaan pengguna disiapkan menjelang akhir tahun, lapor The Star.
Pangkalan data bersepadu yang dinamakan ‘PADU’ ini akan merangkumi pendapatan isi rumah, lokasi, bilangan kenderaan, rekod bantuan yang diterima daripada kerajaan dan maklumat lain untuk menentukan sama ada isi rumah layak menerima subsidi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan Mei lepas.
Kemungkinan kenaikan kadar caj elektrik kini dibimbangi kalangan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana kerana mereka yang menjalankan perniagaan di rumah dan keluarga besar juga mungkin terjejas sebaik sahaja subsidi tenaga ditamatkan.
Kerajaan membelanjakan RM5.8 bilion untuk subsidi dari 1 Julai hingga 31 Dis 2022 bagi menanggung kos penjanaan elektrik yang lebih tinggi dan mengekalkan harga tarif rendah untuk pengguna.
Dengan menamatkan subsidi secara menyeluruh, isi rumah dalam julat pendapatan 20 Teratas (T20) dan syarikat multinasional (MNC) mungkin akan membayar lebih untuk penggunaan elektrik setiap bulan.
Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim dilaporkan berkata Putrajaya sedang berusaha untuk menjimatkan RM4.1 bilion dengan memotong subsidi kepada isi rumah T20 dan MNC.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberi amaran bahawa isi rumah berpendapatan sederhana (M40) secara tidak langsung juga boleh terjejas oleh rancangan kerajaan itu.
The Star memetik Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Dr Saravanan Thambirajah berkata dalam keadaan ini, isi rumah M40 yang mungkin disalah kategorikan sebagai T20 akan  melihat bil elektrik mereka meningkat.
“Golongan M40 bakal tersepit kerana mereka tidak boleh bergantung kepada bantuan kewangan, subsidi atau program sokongan, seperti mana yang dinikmati oleh kumpulan B40.
“Mereka juga tidak mempunyai fleksibiliti kewangan atau pendapatan tinggi untuk membantu mengimbangi lonjakan mendadak bil bulanan mereka seperti kumpulan T20.
Beliau berkata, pada masa ini kebanyakan pengguna M40 membelanjakan antara 15 peratus hingga 20 peratus pendapatan bulanan mereka untuk bil elektrik. Ini bermakna lonjakan mendadak boleh mengurangkan dengan teruk kuasa beli mereka dan menjejaskan ekonomi secara keseluruhan.
Oleh yang demikian, sehingga pangkalan data PADU siap dan didedahkan, isi rumah yang tersepit dalam dilema ini akan terus dihantui kebimbangan tidak lagi menerima subsidi elektrik bagi meringankan beban mereka.
Dalam rantaian kesan ini, secara jangka panjang isi rumah golongan T20 nampaknya akan kurang terjejas, kerana mereka mampu memasang panel solar di rumah atau menukar peralatan elektrik kepada jenis yang lebih menjimatkan tenaga.
-BTS Media