Oleh Yusoff A. Shariff
BAKAL jemaah umrah perlu bersiap sedia kerana dilaporkan akan berlaku kenaikan harga pakej umrah disebabkan oleh kenaikan mendadak kadar sewa bilik hotel di Makkah dan Madinah.
Menurut Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), kenaikan harga sewa bilik hotel menyebabkan harga pakej umrah yang sudah ditetapkan sebelum ini turut terkesan dan terpaksa dinaikkan juga.
Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Mohd Azri Abd Razak berkata kenaikan harga ini dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi, terutama di Madinah.
“Ia berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas pandemik COVID-19 beransur pulih.
“Bukan harga hotel sahaja yang meningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan, khususnya ketika musim kemuncak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad (8 Jan).
Beliau berkata keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan bakal jemaah yang telah membuat tempahan.
Ia juga akan menyebabkan pihak agensi pelancongan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pengesahan tempahan walaupun bayaran penuh sudah kepada pihak hotel.
“Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah.
“Dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, pihak MATTA meminta agar semua jemaah umrah supaya bersabar dan memahami ketidaktentuan yang berlaku di Madinah dan Makkah,” katanya.
MATTA juga menerima aduan tentang kesulitan membawa pulang air zam zam oleh jemaah umrah, terutamanya di lapangan terbang Jeddah.
Jelas Mohd Azri, MATTA sudah merujuk kepada Saudi Tourism Authority (STA) untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu bagi pemegang visa pelancong.
“MATTA juga berharap dapat mengadakan pertemuan bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk berbincang dan menangani isu yang serius ini.
“Kita tidak mahu jemaah menyalahkan agensi pelancongan sepenuhnya terhadap keadaan yang berlaku di Madinah dan Makkah dari sudut kenaikan harga hotel, pengangkutan dan tiket penerbangan,” katanya.
-BTS Media