Oleh Zainal AS Rashid
HARGA ayam tidak akan diapungkan, sebaliknya harga siling baharu akan ditetapkan tidak lama lagi.
Selain itu, tiada kenaikan tarif air dan elektrik dikenakan bagi pengguna domestik di semenanjung.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan menampung subsidi bernilai RM5.8 bilion walaupun berdepan peningkatan mendadak bahan api dan kos lain.
Ini bermakna rebat sebanyak 2 sen/kWj dikekalkan untuk semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.
“Tiada kenaikan tarif elektrik untuk pengguna domestik di semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan semalam (Jumaat 24 Jun).
Surcaj sebanyak 3.7 sen//kWj s dikekalkan untuk pengguna bukan domestik, iaitu pengguna komersial dan industri.
Pada masa yang sama, kerajaan juga memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan,” katanya.
Menurut Ismail Sabri harga siling baharu ayam akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.
Harga siling ayam standard yang ditetapkan pada RM8.90 sekilo di Semenanjung Malaysia sebelum ini sepatutnya dihapuskan pada 1 Julai depan.
-BTS Media