GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
Harga siling baharu ayam standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram, kata Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Dalam satu kenyataan Rabu (29 Jun), Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, Kabinet juga memutuskan bahawa harga runcit telur Gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji; Gred B (43 sen) dan Gred C (41 sen).
Sebelum ini, harga telur ditetapkan pada 43 sen bagi Gred A, 41 sen bagi Gred B dan 39 sen bagi Gred C. Harga baharu akan berkuat kuasa pada Jumaat (1 Julai).
Harga siling untuk ayam standard sebelum ini ditetapkan pada RM8.90 sekilogram di Semenanjung Malaysia, dan akan tidak terpakai pada 1 Julai.
Kiandee berkata keputusan itu diambil oleh Kabinet selepas mengambil kira Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, di mana bantuan tunai RM500 akan diberikan kepada kumpulan B40 dan M40 yang layak.
Menurutnya, kira-kira 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan setakat ini dan mereka dijadualkan menerima bantuan sehingga RM2,600.
“Ini merupakan bantuan terbesar yang diberikan oleh mana-mana kerajaan,” tambahnya.
Beliau juga berkata Putrajaya memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta untuk bantuan tunai ini, justeru menjadikan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk subsidi sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Feb.
-BTS Media