CHUKAI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bermula hari ini dengan pusat penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman akan dibuka pada pukul 9 pagi.
Semua calon diberikan tempoh sejam hingga pukul 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Disember sebagai hari pengundian. Kempen PRK Kemaman ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 1 Disember.
Isnin lalu, Barisan Nasional (BN) menamakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, sebagai calon, manakala PAS memilih Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
-BTS Media