BTS Media

Calon PN dulu patut tak boleh tanding Kemaman, kata Mat Said selepas PAS tak fail rayuan

CALON Perikatan Nasional bagi Parlimen Kemaman pada PRU15 patut tidak boleh bertanding apabila pilihan raya baharu diadakan, selepas kemenangan terbatal susulan dakwaan terdapat unsur-unsur rasuah, kata pemimpin Umno.

Ketua Umno Terengganu Ahmad Said berkata demikian selepas PAS hari ini mengumumkan ia tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Hakim Anselm Charles Fernandis ketika pengurusan kes menyatakan terdapatnya unsur-unsur rasuah bagi bahagian pilihan raya Parlimen itu tanpa menamakan mana-mana pihak, menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan.

“Dia tak rayu sebab benda itu jelas terbukti,” kata Ahmad kepada FMT.

Ditanya sama ada beliau sedia bertanding sekali lagi di Kemaman, Ahmad berkata perkara itu belum dibincangkan.

“Umno Terengganu bersedia dan akan ikut apa ketetapan dibuat pucuk pimpinan sama ada bertanding atau sebaliknya,” tambahnya.

Keputusan PAS untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bergaya Perikatan Nasional itu membuka ruang kepada pemilihan baharu, dengan Takiyuddin berkata partinya sudah bersiap sedia.

Mahkamah pada 26 Sept lepas mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah selepas menerima dakwaan pempetisyen berhubung sogokan semasa tempoh berkempen.

Pada pilihan raya lalu, PN menerusi Che Alias Hamid menang kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi, selepas meraih 65,714 undi untuk menewaskan Barisan Nasional yang memperoleh 38,535 undi, Pakatan Harapan (8,340), dan Pejuang (506).

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/10/03/calon-pn-dulu-patut-tak-boleh-tanding-kemaman-kata-mat-said-selepas-pas-tak-fail-rayuan/

Leave a Comment