BTS Media

Annuar Musa: ‘Tak mengapa saya tak bertanding, asalkan UMNO tak menang’

GAMBAR ATAS: Facebook Tan Sri Annuar Musa.

 

Oleh Fetty Rara

PENGERUSI Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa berkata beliau lebih suka menjadi pilihan terakhir PAS sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

“Biar saya menjadi pilihan terakhir untuk bertanding,” kata Annuar yang secara rasmi menyertai PAS pada 10 Jun lalu.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata keputusan pemilihan calon terserah kepada pucuk pimpinan parti dan tidak menjadi hal jika beliau tidak dipilih.

Annuar berkata, beliau menyertai PAS bukan semata-mata untuk menjadi calon, tetapi atas keikhlasan untuk memperjuangkan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu.

“Jika diberi mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pimpinan PAS untuk mengetahui sebab saya diamanahkan berbuat demikian.

“Jika tidak, peluang itu harus diberikan kepada pemuda atau calon daripada kalangan ahli PAS yang sudah lama bersama parti…lagi pun saya masih baru dalam PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian di Kota Baru semalam.

Annuar menyertai PAS selepas beliau dengan rela hati menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata PAS menerima bekas Ahli Parlimen Ketereh itu bersama 3,000 ahli baharu yang lain.

Menurut Takiyuddin, terdapat ramai lagi yang memohon menyertai PAS dan Bersatu.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat dan akar umbi yang diterima menyertai parti itu akan diumumkan dari semasa ke semasa.

-BTS Media

Leave a Comment