BTS Media

Saya tak faham kenapa kerajaan begitu takut sampai tak bagi jumpa – Dr Mahathir

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan kerajaan hari ini di sebalik pembatalan sebanyak empat kali program Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

“Saya tak faham kenapa kerajaan begitu takut dengan orang Melayu sampai tak bagi berjumpa.

“Empat kali kita pilih tempat untuk perjumpaan tapi semua tak diberi kebenaran,” katanya tanpa memperincikan dakwaannya itu.

“Kalau mereka takut kepada saya, parti saya kalah 125 kerusi pada PRU 15. Bukan kalah sedikit, tetapi semua deposit hangus,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, penganjur acara itu dilaporkan berkata pengurusan lokasi kedua membatalkan tempahan pihaknya.

“Pihak pengurusan dewan tidak menyatakan sebarang sebab atas pembatalan tersebut,” menurut Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Ia kali kedua perkara itu berlaku setelah tempahan di lokasi pertama, Hotel Impiana KLCC di Kuala Lumpur dibatalkan kerana “masalah teknikal”, menurut laporan itu.

Mengulas lanjut, bekas ahli parlimen Langkawi itu mendakwa kemungkinan pembatalan perjumpaan Proklamasi Orang Melayu itu juga disebabkan tangan ghaib yang takutkan bayang-bayang sendiri.

“Mereka takut segala salah laku mereka akan terbongkar apabila orang Melayu bersatu dan sedar perbuatan mereka selama ini,” kata Dr Mahathir yang juga penasihat gerakan terbabit.

Menurutnya, majlis Proklamasi Orang Melayu oleh Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu bukan agenda mana-mana parti politik.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir tujuan proklamasi diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu mengenai situasi politik negara masa kini.

“Kami tidak mewakili mana-mana parti politik, kami hanya mahu menyatukan orang Melayu yang kini semakin berpecah akibat politik negara,” katanya

Menyasarkan kritikannya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Mahathir mendakwa pentadbiran kerajaan kini lebih zalim daripada penjajah British kerana ketika pemerintahan British orang Melayu masih boleh berkumpul dan bersuara.

“Di zaman saya pun orang Melayu boleh bercakap tetapi di zaman demokratik Anwar, orang Melayu tak boleh bercakap. Itulah demokrasi Anwar Ibrahim,” dakwanya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu akan meneruskan kempen itu di media sosial dan segala saluran publisiti lain termasuk jelajah rakyat di seluruh negara.

Mahathir juga berkata maklumat terkini pergerakan Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu akan dihebahkan kepada semua rakyat melalui pelbagai saluran.

Sementara itu, Mahathir mengulas tindakan Kerajaan Perpaduan dalam membanteras kegiatan rasuah di kalangan pemimpin negara.

“Namun saya sedikit terkilan, tindakan hanya diambil jika mereka adalah dari parti pembangkang, kerajaan harus sedar pesalah rasuah ada di mana-mana termasuk dalam pemimpin kerajaan kini,” katanya.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/659243

Leave a Comment