BTS Media

Dr Mahathir: Orang boleh kata saya tidak tahu malu, tetapi ia tidak menjejaskan saya

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup bekerjasama dengan bekas musuhnya, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menghalang mereka yang telah memusnahkan negara daripada kembali berkuasa.

Beliau berkata, orang boleh kata beliau tak tahu malu kerana kononnya terpaksa menjilat ludah sendiri, namun cakap-cakap begitu tidak memberi kesan.

Ini kerana bagi beliau perkara paling penting ialah usaha untuk menyekat puak yang telah memusnahkan negara daripada kembali berkuasa.

Beliau menambah bahawa satu gabungan bersatu ditubuhkan oleh pihak pembangkang yang terdiri daripada individu berfikiran serupa telah membawa kepada kejatuhan  Najib Razak pada PRU14.

Oleh itu, tiada sebab strategi ini tidak boleh diulangi untuk PRU15, katanya lagi.

Dr Mahathir menyatakan ini dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook.

Beliau berkata pengkritik telah membangkitkan isu beliau mencari Anwar sehinggakan beliau sanggup pergi ke mahkamah untuk bertemu pemimpin PKR itu sebelum PRU14.

Menurut beliau lagi, semua ini benar, kerana tiada tempat untuk kesombongan dan ego apabila berjuang untuk bangsa, agama dan negara tercinta ini.

Dr Mahathir berkata senario yang sama berlaku pada PRU15, justeru terdapat keperluan untuk ditubuhkan barisan bersatu untuk menghalang Najib daripada mendapat semula kedudukan teratas.

“Saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh saya untuk melakukan ini. Jika perlu saya bersedia untuk membuat langkah pertama,” katanya, sambil menambah beliau tidak terpengaruh dengan pengkritik kerana agenda nasional lebih penting baginya.

-BTS Media

Leave a Comment