GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Fetty Rara
HARI ini merupakan Hari Malaysia ke-59, dan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia teruja untuk menyatakan rasa cinta mereka kepada negara dengan pelbagai cara.
Seperti pada Hari Kebangsaan, tidak kurang ramai yang menghiasi kenderaan mereka dengan Jalur Gemilang atau memakai pakaian yang dibuat menggunakan bendera Malaysia.
Tapi, apakah kita sedar bahawa memakai pakaian daripada Jalur Gemilang adalah satu kesalahan?
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), pemakaian bendera tersebut sebagai pakaian tidak dibenarkan.
Pihak PMO telah mengeluarkan buku tentang sejarah Jalur Gemilang, cara betul memperagakan, dan cara menjaganya. Edisi terbaharu buku tersebut dikeluarkan pada 2020.
Terkandung dalam buku itu termasuk larangan memakai pakaian yang menunjukkan khusus corak ‘canton’ (bahagian mengandungi kotak bulan dan bintang) dan jalur.
Ini termasuk pada pelitup muka, sampin, skaf dan pakaian di kepala.
Untuk maklumat lanjut, layari: http://dbook.penerangan.gov.my/dbook/dmdocuments/lambang_kebesaran_negara/mobile/index.html#p=31
Bagaimanapun, tidak terdapat undang-undang khusus yang mengawal penggunaan Jalur Gemilang dan cara penggunaannya.
Satu-satunya undang-undang yang mungkin mengawal cara menggunakan Jalur Gemilang ialah Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Seksyen 3 Akta itu menyatakan bahawa tiada sesiapa boleh menggunakan simbol negara untuk sebarang tujuan komersial tanpa kebenaran.
Walaupun mungkin tidak ada undang-undang khusus yang melindungi penggunaan bendera, namun buku kecil itu menyatakan bahawa individu yang didapati tidak menghormati bendera boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
-BTS Media