BTS Media

KKM tidak boleh dedah butiran kesihatan Najib – KP Kesihatan

Oleh Fetty Rara

BUTIRAN terperinci mengenai keadaan kesihatan Najib Razak tidak boleh didedahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata maklumat terperinci mengenai kesihatan bekas perdana menteri itu hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah (jika diarahkan).

Melalui catatan Facebook hari ini (Khamis 22 Sept) beliau berkata, siasatan klinikal, rawatan dan pemantauan kesihatan Najib telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dengan laporan seterusnya akan dikemukakan kepada mahkamah (jika diarahkan).

Semalam (Rabu 21 Sept) Jabatan Penjara berkata Najib telah dirujuk kepada Hospital Rehabilitasi Cheras.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu memaklumkan bahawa Najib dihantar ke sana untuk rawatan lanjut dan pemantauan oleh Hospital Kuala Lumpur pada 19 Sept.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos untuk mengekalkan sabitan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

-BTS Media

Leave a Comment