MAHKAMAH Tinggi pada Selasa (4 Okt) membenarkan permohonan Najib Razak untuk menghadiri perbicaraan saman sivil RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas pada 21 Okt.
Hakim Datuk Ahmad Bache berkata Najib sebagai plantif berhak untuk mendengar kes sivil itu.
“Jika perbicaraan kes jenayah, perintah untuk mengemukakan mungkin boleh dibuat. Ia (permohonan pembatalan) mungkin bersifat interlokutori. Mahkamah ini setuju dengan permohonan kamu, mahkamah benarkan perintah seperti dipohon,” kata Hakim Ahmad menerusi prosiding secara dalam talian hari ini, lapor Bernama.
Mahkamah dijadualkan menyambung mendengar permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib pada 21 Okt.
Peguambela Najib Yudistra Darma Dorai berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan ex parte Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi menghadiri perbicaraan mahkamah mengikut Seksyen 30 Akta Penjara.
Pada 22 Okt 2021 Najib memfailkan saman mendakwa bahawa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Najib, 69, mendakwa bahawa dia telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Beliau memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.
-BTS Media