BTS Media

Najib tarik balik saman terhadap kerajaan

GAMBAR ATAS: Firdaus Latif, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons

 

BEKAS perdana menteri Najib Razak menarik balik samannya terhadap kerajaan Malaysia atas tuduhan salah guna kuasa berhubung beberapa kes, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, sebagai plaintif, Najib meneruskan saman terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas sebagai defendan pertama.

Terdahulu, peguam Najib, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik saman terhadap kerajaan sebagai defendan kedua.

Peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Berdasarkan notis penamatan saman yang difailkan oleh Tetuan Raj, Ong & Yudistra semalam, Najib menghentikan tindakan terhadap kerajaan tanpa arahan berhubung kos.

Najib, yang memfailkan saman itu pada 22 Okt 2021, mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas, dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Anti -Akta Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

-BTS Media

Leave a Comment