GAMBAR ATAS: The Edge.
SAMAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung RM10.3 juta cukai tertunggak yang dituntut daripada anak Najib Razak, Nooryana Najwa Najib selesai.
Menurut peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Nooryana, LHDN telah menarik balik rayuan berkaitan kes itu yang sebelum ini difailkan di Mahkamah Rayuan.
Rayuan dibuat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos 2020 yang menolak permohonan LHDN untuk penghakiman ringkas terhadap Nooryana.
Selain Nooryana, LHDN turut memfailkan tindakan sivil untuk menuntut sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada anaknya, Mohd Nazifuddin.
Kedua-duanya sedang merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penghakiman ringkas terhadap mereka.
Sebelum ini, LHDN turut menyelesaikan saman tuntutan cukai berjumlah RM13.16 juta terhadap seorang lagi anak Najib, Mohamad Nizar.
Dalam penyelesaian itu, Nizar setuju untuk membayar cukai taksiran tambahan bagi tahun taksiran bermula 2011 hingga 2017.
-BTS Media