BTS Media

Annuar Musa sekarang rasmi ahli PAS

GAMBAR ATAS: Facebook Hadi Awang.

 

Oleh Zainal AS Rashid

BEKAS ahli UMNO dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa kini secara rasmi menjadi ahli PAS.

Beliau yang dulunya menteri komunikasi dan multimedia menerima sijil keahlian daripada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa satu majlis Perikatan Nasional (PN) di Seremban sini pada Sabtu (10 Jun).

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membuat pengumuman itu berkata selain permohonan Annuar, PAS juga telah meluluskan kira-kira 3,000 permohonan lain, lapor NST.

Takiyuddin berkata PN juga telah meluluskan keahlian Annuar.

Presiden PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut hadir, menyerahkan satu lagi sijil keahlian kepada Annuar, yang juga pengerusi NGO Muafakat Nasional.

Annuar kemudiannya berkata beliau memutuskan untuk menyertai PAS ketika menunaikan ibadah haji di Makkah.

“Saya perlu jelaskan bahawa saya tidak berjumpa Muhyiddin mahu pun Abdul Hadi untuk menyertai Perikatan dan PAS.

“Saya juga tidak dipengaruhi sesiapa. Ini keputusan saya,” katanya.

“Saya menjadi ketua bahagian UMNO selama 35 tahun, berkhidmat selama 28 tahun dalam majlis tertingginya, dan telah melihat banyak perkara.

“UMNO bukan lagi parti yang saya kenal dahulu,” katanya.

Annuar berkata beliau berhasrat menyertai PAS walaupun beberapa ahli UMNO menasihatkan supaya tidak melakukannya.

“Saya tidak akan kembali kepada UMNO dan akan dedahkan secara berperingkat mengapa saya memutuskan untuk menyertai PAS.

Annuar berkata beliau telah bersama UMNO 50 tahun dan tidak mahu lagi menghabiskan masanya untuk menyokong parti yang tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

-BTS Media

Leave a Comment